Pengecualian cukai buku ringankan beban keluarga berpendapatan rendah

Utusan Borneo:

Posted on October 12, 2014, Sunday

SIBU: Pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap buku seperti kamus, buku bacaan, latihan dan agama serta rujukan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban golongan keluarga berpendapatan rendah.

Seorang pemilik kedai buku dan alat tulis di sini yang hanya dikenali Wong berkata, langkah pengecualian itu juga dapat mengurangkan perbelanjaan terutama mereka yang mempunyai ramai anak bersekolah.

Katanya umum mengetahui ramai ibu bapa cuba berjimat cermat untuk mengelak daripada berbelanja secara berlebihan.

Namun, dalam soal pendidikan keadaan itu agak berbeza kerana ibu bapa perlu berbelanja bagi menyediakan keperluan pendidikan anak-anak.

“Dalam pasaran hari ini, buku-buku yang diperlukan dijual pada harga sangat mahal.

“Ia adalah kesan daripada kenaikan kos percetakan serta pengangkutan yang terpaksa ditanggung.

“Bayangkan sekiranya sebuah keluarga itu mempunyai tiga orang anak bersekolah.

“Sudah tentu mereka memerlukan perbelanjaan besar untuk menyediakan keperluan persekolahan anak mereka,” katanya ketika mengulas Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.

Wong turut berharap alatalat tulis seperti pen dan pensil juga bebas daripada dikenakan GST.

Sementara itu, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Lanang Law Hin Chin berkata kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun depan dilihat tidak mempunyai keupayaan membantu memangkinkan ekonomi rakyat.

Law berkata tindakan menaikkan jumlah BR1M bukan cara sesuai untuk menyelesaikan krisis ekonomi.

Katanya kerajaan perlu mencari jalan lebih komprehensif serta rancangan sistematik jangka panjang dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat.

“Ini termasuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dengan jumlah pendapatan lumayan.

“Ketika ini, kerajaan perlu mencari jalan meringankan beban rakyat berikutan tindakan melaksanakan GST tahun depan,” ujarnya.

Mengambil contoh kenaikan harga petrol RON95, Law menjelaskan bahawa Malaysia masih kurang sistem dan bilangan pengangkutan awam berbanding negara-negara maju.

Rakyat negara ini masih bergantung sepenuhnya kepada kenderaan persendirian untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.

“Secara keseluruhan Bajet 2015 tidak memberi fokus jelas tentang hasrat kerajaan membentuk ekonomi rakyat,” katanya.

 

Read more: http://www.theborneopost.com/2014/10/12/pengecualian-cukai-buku-ringankan-beban-keluarga-berpendapatan-rendah/#ixzz3HxOW4f3i

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.