8 Cara Kreatif Jual Buku Selain Kedai Buku dan Kempen Promosi Unik

Oleh Hasri Hasan (Perbadanan Kota Buku)

Petikan: https://myhasri.wordpress.com/2016/10/28/8-cara-kreatif-jual-buku-selain-kedai-buku-dan-kempen-promosi-unik/

Akhir-akhir ini banyak penerbit buku mengeluh. Jualan runcit buku tidak sepantas dulu. Kedai buku sekarangpun banyak jual alat tulis dan barang-barang bukan buku di kedai buku. Jadi bagaimana mahu pamerkan buku kepada bakal pembeli? Penerbit-penerbit jual buku-buku mereka di mana? Kenapa penerbit sekarang mengeluh sebab tidak boleh jual buku? Di sini ada beberapa idea kreatif untuk menjual buku terbitan anda.

cof

  1. Tubuhkan Kelab Buku

Menubuhkan kelab peminat buku anda sendiri salah satu cara yang baik. Jika anda penerbit buku kanak-kanak, edarkan borang dan kad ahli ke sekolah-sekolah atau taja minuman pada waktu sukan sekolah. Iklankan dalam majalah kanak-kanak atau di akhbar. Dengan ahli yang sedia ada, umpan mereka dengan hadiah-hadiah menarik atau peraduan di kulit belakang buku. Jika pengkalan data keahlian kelab peminat anda besar misalnya seramai 3,000 orang peminat setia, inilah jumlah buku yang boleh terjual sebaik saja ia tercetak. Banyak kelab boleh ditubuhkan, ada kelab peminat novel, kelab peminat kisah seram, kelab buku bisnes dan banyak kelab buku lagi.

  1. Multi-level-Marketing Buku

Tubuhkan satu skim piramid tapi bukan ski cepat kaya tapi piramid jual buku. Upline yang rekrut banyak penjual buku di bawahnya akan dapat komisen yang besar. Downline-downline yang ada jika mahu meningkatkan komisen dan bonus mesti akan rekrut ahli baru. Penerbit yang memulakan skim ini bolehlah beri pelbagai gelaran ‘diamond’, ‘Pendeta’ atau ‘Ayahanda’ ke, ikut peringkat mereka dalam struktur piramid mereka. Jika bagus, mungkin upline yang hebat boleh dapat motorsikal besar. Nampak tak? Tiada deposit haram di sini!

  1. Jadikan bahan dalam buku anda bahan viral media sosial

Pada zaman kini, sikit-sikit benda boleh viral. Kisah budak-budak hadiri kem motivasi kena ditakutkan dengan ular pun boleh jadi isu nasional. Anda tidak ada buku tentang motivasi ke? Jika anda ada buku yang potensi kontroversi, ambil beberapa petikan atau bahan dalam buku itu dan buat viral di laman-laman web yang suka memviralkan benda-benda sebegini. Kita memang nampak remeh-temeh tetapi kuasa viral itu jangan diperkecilkan. Apabila bahan itu sudah merebak, cepat-cepat promosikan bahawa buku ini ada di pasaran atau boleh beli secara online di laman tertentu.

  1. Kerjasama dengan penerbit-penerbit filem sebgai ‘product placement’

Hendak tahu mengapa buku-buku puisi Aan Mansur, ‘Tiada New York Hari Ini’ laris jualannya bukan sahaja di Indonesia tetapi juga di Malaysia dan Singapura? Ia kerana puisi-puisi beliau dalam buku itu dibaca oleh Dian Sastrowardoyo dan Nicolas Saputra dalam filem ‘Ada Apa Dengan Cinta 2’. Bayangkan jika Aaron Aziz atau Adi Putra dalam KL Gangster sedang lepak di rumah sambil baca sebuah buku A. Samad Said, pasti ramai orang akan pergi cari buku A. Samad Said itu. Product placement ini bukan benda baru, ada pengeluar kereta menaja James Bond untuk melanyak kereta keluaran mereka agar pelanggan dapat lihat kehebatan kereta tersebut. Jadi kita boleh buat banyak placement dalam filem dan drama. Bayangkan jika Abang Bomba dalam drama pegang buku tertentu, tentu buku itu akan popular.

  1. Katalog buku dari rumah ke rumah

Cara ini sebenarnya sudah dibuat di Amerika Syarikat sejak tahun 60-an lagi. Pengedar yang ada stok yang besar akan mencetak katalog senarai buku-buku menarik untuk ibu-ibu suri rumah tangga dan juga orang-orang tua dan pesara yang kesunyian. Mereka akan cetak katalog buku-buku yang berkaitan secara bulanan beserta dengan kupon-kupon diskaun. Jangan lupa sertakan nombor telefon hotline atau siapkan laman online shopping. Mereka kemudian akan mengupah budak-budak untuk edarkan katalog dari rumah ke rumah (sepertimana kad nama tukang paip yang sering diedar dari rumah-ke rumah sekarang). Banyak surirumah dan pesara suka lihat buku-buku yang sesuai dengan minat mereka.

  1. Jadikan penulis anda seorang yang popular

Buat gimik menarik atau penulis itu sendiri harus terpaksa untuk menonjolkan diri. Jadilah pakar apa saja pun. Penulis juga harus membina ‘tribe’ mereka sendiri. Dengan autoriti yang dibina akan menjadikan buku mereka itu mudah laku. Orang suka beli buku Ustaz Kazim Elias, Prof Muhaya atau buku Sheikh Muzafar. Mereka jadi popular kemudian baru terbit buku tetapi penulis prolifik seperti Tuan Abdul Latip Talib popular setelah menerbitkan banyak novel-novel sejarah di pasaran. Kita juga boleh lihat bagaimana Indonesia mempopularkan penulis-penulisnya secara sistematik. Nama-nama seperti Eka Kurniawan, Andrea Hirata, Habiburahman, Laksmi Pamuntjak, Tere Liye bukanlah kerana karya mereka sangat-sangat hebat tetapi ‘hype’ yang dicipta membuat orang mahu diasosiasikan dengan membaca buku mereka. Penerbit mereka tidak jemu menghantar buku-buku mereka ke pertandingan-pertandingan buku sedunia. Berapa orang yang boleh faham baca buku Haruki Murakami dan Franz Kafka? Namun mereka tetap beli buku Murakami sebab mereka mahu dilihat cool membawa buku yang hebat!

  1. Bergabung dengan Trend terkini

Cuba jual buku anda di lazada.com atau 11street.com. Kadangkala kita tak menyangka saluran-saluran ini mungkin boleh menjual beberapa naskhah buku anda atau kerjasama dengan mereka jika ada orang beli kasut, mereka boleh beli novel cinta pada harga istimewa RM5.00. Menarik? Apa kata jika ada orang makan di restoren tomyam, dengan pembelian RM50.00 dan ke atas, mereka boleh beli buku resepi masakan tom yam pada harga istimewa RM10.00. Bagi pengguna Grabcar pula, cuba bagi tawaran beli satu buku dalam kereta Grab percuma satu buku? Pemandu Grab tu mungkin boleh dapat komisen juga. Amacam? Apa kata jual buku travel, lifestyles atau sejarah tempat bersama-sama promosi laman Air Asia, Agoda, Booking.com atau Airbnb?

  1. Kerjasama dengan penjual alternatif

Selain kedai buku, buat satu pakatan untuk jual buku ikut saluran alternatif. Di Malaysia kita ada penjual buku bergerak seperti Mobilebook Café (MBC) yang bergerak melalui trak buku. Ada beberapa trak buku yang lain-lain tapi mereka penerbit-penerbit gergasi yang ada peruntukan kewangan dan hanya menjual buku-buku terbitan mereka sendiri. MBC lebih mesra penerbit kerana mereka bawa stok buku semua penerbit dan bergerak di banyak tempat sehingga ke daerah luar bandar. Jika promosi yang berkesan dilakukan dengan pengusaha trak sebegini, banyak buku yang boleh laku. Waktu itu kita bermain dengan ‘user experience’ yang berasa unik membeli dari trak buku.

  1. Tubuhkan sebuah tempat khas jual buku lambak atau flea market buku

Cari satu lorong di tengah-tengah kota, usaha pakat-pakat sesama penerbit jual buku setiap Sabtu secara lambak atau ‘flea market’. Tak kisahlah jika buku yang dijual itu buku baru atau buku terpakai atau buku antik. Jika istiqamah setiap Sabtu, pasti pecandu buku akan datang cari buku. Anda fikir orang-orang yang pergi Lorong Kulit di Georgetown atau Amcorp Mall, Petaling Jaya setiap hujung minggu itu pergi suka-suka? Mereka adalah kolektor dan juga pembeli barang-barang tertentu yang tegar. Lihat satu contoh di Saigon, Vietnam. Mereka ada Bookstreet. Persekitaran yang unik membuat orang akan buat ‘pembelian bawah sedar’ (compulsive buying) sepertimana Big Bad Wolf menjual buku 24 jam dalam lambakan buku yang banyak! Banyak pembeli Big Bad Wolf itu bukan pembaca tetapi ‘seronok’ beli buku RM3.00, RM5.00 dan RM10.00. Kota Buku cuba buat acara seperti @kotakata tetapi belanjanya besar. Kota Buku mulai idea, sambunglah selepas itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.