JUAL BELI BUKU DI PASAR TANI – SELANGORKINI

Jual beli buku di Pasar Tani

Oleh LIZAWATI MADFA

Usah terkejut jika orang ramai mengunjungi Pasar Tani bukan untuk membeli sayura-sayuran, ikan atau daging ayam, sebalik mahu mendapatkan buku terbaharu.

Ini kerana Mobile Book Cafe (MBC) atau kafe buku bergerak mungkin ada di mana-mana termasuk Pasar Tani yang lazimnya menempatkan gerai jualan barangan keperluan harian.

mbcc16745_357175701104063_654744630888668511_nIstimewanya, buku yang ditawarkan pada harga istimewa setiap hari, Mobile Book Cafe turut menghidang kopi organik secara percuma serta buah tangan lain.

Bukan hanya pasar tani, MBC juga menjual buku di majlis perkahwinan, majlis rumah terbuka, stesen minyak mahupun perkarangan tempat letak kereta.

“Kami tiada tempat khusus. Di mana ada jemputan, kami pergi. Inilah kelebihan kami, ke mana-mana sahaja. Paling jauh setakat ini ke Melaka,” kata pengasasnya, Muhammad Azam Nor Anwar.

mbc10483985_361824610639172_2851977690885125190_nMBC sebenarnya sebuah van persendirian yang diubah suai menjadi sebuah kenderaan jualan buku dan majalah serta menyerupai sebuah kafe santai.

Sejak diusahakan kira-kira setahun lalu, mendapat sambutan semakin lama semakin menggalakkan. Namun, saat memulakan operasi MBC, bukan semudah yang disangka.

“Cabaran awal ialah menyiapkan kenderaan sesuai bagi menjalankan perniagaan kedai buku bergerak.

“Saya memilih kenderaan jenis Isuzu Dimax, kemudian diubah suai seperti keadaan sekarang dengan kos puluhan ribu.

“Puspakom mengambil masa lama bagi meluluskan kenderaan itu dan ia mengambil masa sekitar lima bulan untuk ke jalan raya. Leganya, hanya Allah sahaja yang tahu,” katanya.

mbccc10378248_355353647952935_2436133658327328541_n

Mengikut pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kenderaan seumpama MBC adalah yang pertama seumpamanya didaftar di Malaysia persis kedai buku sebenar.

Pun begitu, di sebalik kegembiraan mempelopori kafe bergerak sedemikian, Azam sempat membisikkan kerisauannya akan sikap kurang membaca di kalangan rakyat khusunya orang Melayu.

“Boleh dikatakan sambutan luar biasa diterima di kalangan rakan Cina. Malah mereka tidak kekok membeli bahan bacaan berunsur Islam.

“Antaranya, panduan kesihatan berasaskan sunnah ataupun buku sastera berbahasa Melayu. Kita dapat lihat kesungguhan mereka dalam membudayakan pembacaan.

“Ini adak berbeza dengan sikap kebanyakan dari orang Melayu yang lebih gemar mencari novel berunsur pop,” katanya yang menjual pelbagai jenis buku termasuk motivasi, pengetahuan am, Islam, ensiklopedia, novel dan buku kanak-kanak.

mbc10609667_358387504316216_3471790625234060056_n

Bagi Azam, bukan salah membaca karya sedemikian tetapi perlu diselang seli dengan bahan bacaan ilmiah supaya minda lebih kritis.

Tidak hairanlah, beliau ada kalanya – demi memupuk minat membaca, memberi buku secara percuma kepada pelanggan.

“Ada kalanya orang datang kepada saya dan beritahu bahawa mereka tidak minat membaca.

“Tetapi saya akan tanya apa mereka minat, jika minat pada kereta, ada buku berkaitan kereta, jika minat fesyen, ada buku itu juga.

“Jika mereka tiada duit, saya beri sahaja, asalkan mereka membaca. Itu permulaan baik,” katanya.

Azam mengakui sesetengah pihak hairan dengan tindakannya itu yang tentunya menjejaskan keuntungan, apatah lagi jualan buku jauh lebih rendah margin keuntungannya.

“Jika kita berniaga mestilah ada keuntungan. Cuma kita yang tentukan sama ada nak untung banyak atau sikit. Selebihnya sedekah,” katanya.

Beliau yang baru-baru ini menyertai Pesta Buku Selangor juga banyak memasarkan buku penerbit bebas yang sukar mendapatkan tempat di kedai buku ternama.

“Kami beri peluang kepada terbitan tempatan berbanding luar negara kerana percaya karya tempatan juga ada produk penerbitan bermutu,” katanya.

Bagi memantapkan lagi interaksi dengan kaki buku, Azam mewujudkan laman Facebook dan Instagram dengan nama Mobile Book Cafe.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.