Kedai Buku Bergerak Pertama Di Malaysia : BERNAMA
Kedai Buku Bergerak Pertama Di Malaysia
Muhamad Ali berdiri di hadapan kedai buku bergeraknya. Foto BernamaOleh Kurniawati Kamarudin
KUALA LUMPUR (Bernama) — Kelibat van yang ditunggu- tunggu akhirnya tiba. Dari jauh jelas kelihatan padanan warna-warni terang hijau, oren dan kuning dengan tertera tulisan “Mobile Book Cafe” dan gambar buku menghiasi luar van.
Sebaik bahagian pintu belakang van dibuka, kelihatan tersusun cantik himpunan buku di atas ruang pameran yang diubahsuai. Semuanya untuk dijual kepada orang ramai terutama peminat buku.
Seorang pejalan kaki melihat buku yang ditawarkan Foto Bernama
Konsep kedai buku bergerak ini adalah yang pertama di Malaysia diusahakan oleh dua sahabat, Muhamad Ali, 50-an, dan Muhammad Azam Nor Anwar, 30-an.
TERCETUS IDEA
Beroperasi sepenuhnya sejak tiga bulan lepas, kedai buku bergerak yang dirancang sejak setahun lepas mengambil inspirasi daripada kedai buku bergerak milik Penguin Books di Amerika Syarikat.
Bercerita lanjut mengenai idea kedai buku bergerak itu, Muhammad Azam berkata sebaik mendapat idea itu, beliau terus menyuarakannya kepada Muhamad yang kebetulan mempunyai minat yang sama.
Mereka berkenalan sejak enam tahun lepas ketika Muhamad masih bertugas sebagai pegawai kerajaan di bahagian teknologi maklumat manakala Muhammad Azam bekerja di bahagian pembekalan teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta.
“Saya memang berhasrat untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan yang berkonsepkan perniagaan bergerak. Macam-macam yang difikirkan, akhirnya saya memilih buku kerana buku tidak pernah basi selain minat kami berdua dalam bidang penulisan”, katanya kepada Bernama.
Muhamad, yang juga penulis buku, turut mengambil keputusan bersara setelah berkhidmat 30 tahun.
Mengambil masa lapan bulan untuk proses kelulusan dan pengubahsuaian, Muhammad Azam berkata pada peringkat awal beliau harus mencari van yang sesuai yang boleh digunakan bagi tujuan itu.
“Ada yang mencadangkan mengambil lori dan bas tapi kami mahukan kenderaan yang tidak terlalu besar kerana kami mengambil kira masalah logistik terutama tempat letak kenderaan”, katanya.
Setelah itu, baru mereka pergi ke pejabat Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk kelulusan bagi pengubahsuaian dijadikan kedai bergerak.
Proses itu mengambil masa agak lama sekitar empat bulan, kerana menurut JPJ, pihaknya tidak mempunyai rekod meluluskan kedai buku bergerak sebelum ini.
“Jadi kalau mengikut rekod JPJ, kedai kami ini adalah kedai buku bergerak yang pertama diluluskan JPJ di Malaysia”, katanya.
PROSES UBAHSUAI
Tidak mahu dikatakan seperti perpustakaan bergerak, Muhammad Azam berkata mereka cuba untuk lari daripada bayangan itu dengan mereka bentuk sendiri ruang van berkonsepkan praktikal dan pelbagai guna.
Apabila hanya menggunakan van sebagai kedai, cabarannya ialah ruang yang terhad dan perlu digunakan semaksimum mungkin, katanya.
Selama sebulan dihantar untuk pengubahsuaian, van itu direalisasi mengikut apa yang diimpikan mereka selama ini.
Sebanyak 1,200 buah judul buku dapat diisi di ruang pameran selain 5,000 buah buku lagi boleh dimuatkan dalam van berkenaan.
“Kami belanjakan RM150,000 bagi keseluruhan kos kedai buku bergerak ini dengan separuh modal diperoleh melalui pinjaman bank”, katanya.
Buku-buku yang dibawa kebanyakannya diperoleh secara konsignasi dari syarikat penerbitan yang memberi kepercayaan selain ada yang dibeli sendiri.
“Kelebihan kami adalah Muhamad seorang penulis dan menghasilkan lima buah buku. Jadi beliau kenal syarikat-syarikat penerbitan. Ia memudahkan kami untuk mendapat konsignasi buku-buku terbitan mereka”, katanya, yang mengutamakan buku-buku keluaran penulis tempatan.
Buku-buku yang dijual juga ditapis dan mengutamakan buku-buku yang membina serta mematuhi syariat selain buku yang menggunakan bahasa yang standard.
“Bahan-bahan yang dijual mengguna tatabahasa yang betul termasuk komik-komik yang dijual. Ini secara tidak langsung bagi membantu meningkatkan tatabahasa terutama dalam kalangan pelajar sekolah”, katanya.
KHIDMAT SOSIAL MELALUI JUALAN BUKU
Mempunyai sasaran pasaran sendiri, kedai buku bergerak milik mereka memberi keutamaan untuk jualan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi selain menyertai karnival jualan di sekitar Lembah Kelang.
Bukan itu sahaja, kadangkala kedai buku bergerak mereka akan berhenti di pasar-pasar tani yang menjadi tumpuan ramai.
“Kadangkala orang kita ni suka membaca tetapi malas hendak pergi ke kedai buku, jadi untuk galakkan budaya membaca itu, kami sendiri datang menemui mereka di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan ramai.
“Maklum balas yang kami terima setakat ini sangat baik terutama konsep yang kami bawa”, katanya.
Ujar beliau, mereka yang datang tidak semestinya membeli buku, sebaliknya ada yang hanya singgah untuk membaca buku-buku yang dipamerkan serta menikmati kopi panas yang disediakan.
Ini sebagai khidmat sosial mereka bagi memberi galakan kepada masyarakat untuk menjadikan membaca sebagai sebahagian budaya dalam kehidupan seharian.
Bagi mendekati pelajar-pelajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi mereka bukan sekadar datang untuk menjual buku sebaliknya turut menyediakan bengkel-bengkel secara percuma.
“Program yang kami jalankan bergantung kepada pelajar-pelajar yang ada. Jika di sekolah rendah, biasanya kami bawa bengkel melukis dan menulis, sementara sekolah menengah kami bawa bengkel penulisan, bengkel puisi dan sajak bergantung kepada minat sekolah itu”, katanya.
Bukan sekadar tangkap muat, mereka bawakan pakar dalam bidang-bidang berkenaan bagi mengendalikan bengkel.
“Kami juga menyumbang buku kepada perpustakaan di sekolah yang kami lawati, sebagai menghargai dan tanda terima kasih menerima kehadiran kami”, katanya yang turut menjelajah ke beberapa buah sekolah dan insitusi pengajian tinggi negeri-negeri di selatan dan utara.
CABARAN DAN HARAPAN
Menjual buku secara bergerak mempunyai cabarannya sendiri terutama ketika berhadapan dengan cuaca hujan kerana buku sangat sensitif dengan air.
Muhammad Azam berkata setiap kali cuaca mendung, mereka akan bersiap sedia untuk menutup kedai dan menunggu di dalam van sehingga cerah kembali.
Namun cabaran yang paling utama ialah mendapatkan program-program terutama di sekolah-sekolah.
“Kerana itu kami harus kreatif untuk merencanakan program-program yang sesuai setiap kali turun membuat jualan. Jika van tidak bergerak bermakna tiada jualan boleh dibuat”, katanya yang berhasrat untuk memperluaskan lagi kedai bergerak mereka.
Mereka juga merancang membina rakan niaga di beberapa buah negeri dengan konsep dan nama yang sama terutama di bahagian selatan, utara Sabah dan Sarawak.
“Matlamat kami adalah membantu masyarakat menjadikan buku sebagai teman setia. Kita harus mencontohi budaya membaca di negara-negara maju seperti Jepun kerana dengan buku kita boleh menimba ilmu”, katanya.
— BERNAMA