10 KEDAI BUKU ONLINE TERBAIK DI MALAYSIA

Nantikan kemunculan kedai buku kami pula ya. www.kedaibuku.com.my

PERNIAGAAN secara atas talian memang sudah tidak asing lagi di Malaysia. Daripada barangan yang murah sehinggalah produk yang mencecah ribuan ringgit. Daripada sebotol sabun pencuci, contohnya, sehinggalah ke cincin perkahwinan yang diperbuat daripada emas bertatahkan berlian. Walhal, jika dicari di kedai-kedai berhampiran, sudah pasti dapat dijumpai dan boleh dibeli. Begitulah betapa berpengaruhnya urusan jual beli dengan menggunakan kaedah ini.

Industri buku juga tidak kurang hebatnya. Pelbagai strategi dan kaedah digunakan, semata-mata untuk menarik minat para pencinta buku untuk membeli buku-buku kegemaran mereka dengan lebih mudah. Segala urusan pembelian buku-buku kini hanya di hujung jari; berbekalkan telefon pintar dan kad debit bank yang berbaki.

Di sini penulis senaraikan antara sepuluh kedai buku atas talian yang membuatkan para pencinta buku tidak keruan apabila melawatnya, sama ada dalam mahupun luar negara. Rambang mata itu sudah pasti. Malah membuatkan mereka sentiasa ‘melekat’ untuk melihat senarai ribuan buku yang menarik. Hari demi hari, bulan demi bulan, dan tahun demi tahun. Sehingga menjadikan segelintir antara mereka adalah pemerhati yang setia. Apa yang pasti, setiap kedai buku atas talian ini menjanjikan keunikan dan faktor tarikan yang tersendiri.

1.  Bookxcessonline.com 

Laman web ini menyediakan buku-buku dari luar negara dengan kadar harga yang sangat murah: kebanyakan harga buku 80% lebih murah dari harga asal. Jika bernasib baik, terdapat juga buku yang berkualiti dan ‘mahal’ isi kandungannya dapat dibeli di sini dengan harga kurang daripada RM20 senaskhah; tidak termasuk kos penghantaran. Sebagai contoh, buku karya pemenang Hadiah Nobel Sastera 2017, Kazuo Ishiguro, dapat di miliki di sini, berjudul ‘The Unconsoled’ dan ‘The Buried Giant’ (sementara stok masih ada).

Akan tetapi, buku-buku terbaru yang popular agak sukar untuk diperoleh. Walau bagaimanapun, karya sastera klasik yang dikarang oleh Harper Lee, Mark Twain dan Charles Dickens sebagai contoh, buku-buku mereka turut berada dalam senarai. Bagi penggemar bahan bacaan berbahasa Inggeris, laman web ini adalah sangat berbaloi untuk mereka. Selain novel, buku nota dan permainan untuk kanak-kanak juga turut dijual.

2.  Bookurve.com 

Bertemakan “kedai buku atas talian yang dibina oleh pencinta buku untuk para pembaca”, laman web ini juga turut menyenaraikan banyak buku-buku yang popular. Oleh sebab sifatnya yang global, maka terdapat tiga kategori bahasa utama untuk ratusan kategori buku-buku yang telah diterbitkan iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris. Hal ini  bersesuaian dengan landskap perniagaan di negara ini. Oleh kerana terdapat banyak novel dan buku-buku bestseller, maka harga juga adalah berpatutan dan bersesuaian. Walaupun begitu, dari semasa ke semasa, tawaran yang mereka lakukan juga agak menarik.

3.  ITBM

Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), melalui laman webnya www.itbm.com.my turut menyediakan perkhidmatan jualan buku secara atas talian. Memandangkan falsafah penubuhan organisasi ini yang lebih tertumpu kepada penterjemahan, maka para pembaca dapat membaca buku-buku dari karya luar negara –selain Bahasa Inggeris- dalam Bahasa Malaysia. Walaupun begitu, usaha tidak hanya tertumpu di situ, ITBM juga turut menyenaraikan puluhan kategori buku-buku mahupun novel yang menarik. Penekanan terhadap disiplin dan pengunaan bahasa yang baik, tepat dan betul membuatkan setiap hasil karya adalah lebih bermutu dan boleh dijadikan rujukan untuk menulis. Maka sebagai langkah pertama, daftarkan akaun anda untuk membuat sebarang pembelian buku secara atas talian.

4.  Bookcafe

Gedung buku ini seperti sudah sinonim dengan para pencinta buku. Salah sebuah kedai buku atas talian yang sudah tidak asing bagi para pembaca di Malaysia. Konsepnya adalah lebih kepada penghasilan karya-karya Islami kontemperori: penerbitan naskhah al-Quran dan hal-hal berkaitan ilmu Islam dan juga judul-judul lain. Kaedah pengeposan yang mudah dan pantas adalah antara tarikan yang terdapat di syarikat penerbitan buku ini.

Bookcafe juga kerap menawarkan pelbagai ganjaran dan potongan harga yang menggoda, membuatkan pencinta buku berpusu-pusu untuk mendapatkan buku-buku kegemaran mereka dengan harga yang lebih murah. Untuk mendapatkan tawaran dan ganjaran dari semasa ke semasa, anda perlulah mendaftar terlebih dahulu dan jangan lupa untuk ‘subscribe’ dengan memberikan e-mel anda melalui ruangan yang disediakan pada laman web tersebut.

Jika anda kurang pasti untuk memilih buku yang sesuai dengan cita rasa, usah risau, halaman utama ada menyediakan senarai cadangan untuk anda memilih buku-buku yang anda ingini. Kebiasaannya, buku bestseller menjadi keutamaan untuk dipaparkan.

5.  Bookdepository

Berpengkalan di United Kingdom, England, Bookdepository ialah antara gergasi pedagang buku-buku antarabangsa secara atas talian. Hampir apa sahaja buku yang ingin dicari oleh pembaca ada disenaraikan di laman web ini, iaitu www.bookdepository.com.

Apabila anda telah mendaftar dengan sempurna, berserta dengan kaedah pembayaran, gedung besar ini pasti tidak akan mengecewakan anda dari sudut pemilihan buku. Jika tidak dijumpai, mereka akan menyediakan laman web alternatif untuk memenuhi keinginan pembaca.

Hampir 17 juta judul buku sedia untuk dibeli oleh para peminat bahan bacaan. Sehingga kini, mereka masih lagi berusaha untuk menyediakan sebanyak mungkin akses yang membolehkan semua jenis buku dapat diketengahkan untuk dijual di seluruh dunia. Lebih seratus buah negara menjadi pelanggan mereka. Ini membuatkan sistem penghantaran sedikit sebanyak adalah dipercayai untuk sampai ke destinasi mengikut masa yang telah dimaklumkan. Yang diperlukan hanya kesabaran anda untuk buku yang anda kirim sampai di hadapan muka pintu rumah. Penantian anda berbaloi kerana Bookdepository tidak mengenakan apa-apa caj penghantaran hampir ke mana-mana sahaja di seluruh dunia!

6.  BBO

Bermula dari minat membaca yang mendalam, telah mendorong pengasas ‘Kedai Buku Online Malaysia’ untuk membina perniagaan menjual buku menerusi laman web ini, iaitu www.belibukuonline.com.my.

Syarikat berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kini telah mengembangkan perusahaan penjualan buku secara atas talian dengan lebih besar. Terdapat lebih dua belas syarikat penerbitan buku tempatan yang terlibat dalam senarai buku-buku yang terdapat pada laman web ini, termasuklah syarikat penerbitan Alaf 21, Telaga Biru, Utusan Publishing dan pelbagai lagi. Dalam erti kata lain, lebih banyak pilihan buku-buku tempatan ada disenaraikan. Kemeriahan penjualan buku atas talian di BBO ini terbukti apabila ada pembeli dari luar Malaysia.

7.  DBPniaga.my

Kewujudan badan kerajaan ini sudah sangat dikenali oleh setiap rakyat Malaysia. Selain novel, penerbitan paling sinonim adalah seperti Kamus Pelajar, Kamus Simpulan Bahasa dan pelbagai jenis majalah yang merangkumi isu ekonomi, sosial, kemasyarakatan dan lain-lain. Seiring dengan arus semasa, DBP juga tidak ketinggalan menyaingi kemajuan teknologi yang terus pesat membangun sehingga ke hari ini.

Dengan wujudnya laman sesawang www.dbpniaga.my, hampir kesemua bahan bacaan terbitan DBP ada dijual secara atas talian. Seperti biasa, daftar diri terlebih dahulu untuk akses log masuk ke halaman pembelian buku. Pelbagai kategori bahan bacaan disenaraikan dan boleh dibeli; yang semestinya adalah produk DBP itu sendiri. Daripada penerbitan lama sehinggalah yang terkini. Selain itu, perkhidmatan langganan juga turut disediakan. Bagi penggemar bahan bacaan yang menitikberatkan penggunaan bahasa yang bermutu, laman DBP ini telah menyediakannya.

8.  MPH Online

Bermula dari sejarah penubuhannya yang panjang, iaitu bermula dari tahun 1807, sehinggalah telah diambil alih sepenuhnya oleh ahli perniagaan besar Malaysia, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary pada tahun 2002, kini MPH telah mempunyai kedai maya sendiri. Melalui laman sesawang www.mphonline.com, MPHonline mengorak langkah untuk memudahkan pelanggan membeli bahan bacaan secara atas talian. Pilihan bahan bacaan juga agak menarik. Pelbagai kategori disediakan untuk menarik minat pencinta buku. Sebagaimana yang dapat kita lihat di cawangan MPH di gedung beli belah yang ternama, begitu jugalah kaedah peruncitan dilaksanakan di laman web ini.

9.  Pelita Dhihin

Bagi para pembaca yang dahagakan ilmu, terutamanya berkaitan keagamaan, peradaban, falsafah dan terbitan antarabangsa, Pelita Dhihin, yang beralamat di www.kafilahbuku.com, menyediakan bahan bacaan yang boleh dijadikan sumber rujukan. Tema perniagaan buku ini adalah lebih memberikan penumpuan kepada para sarjana, ataupun mahasiswa.

Setiap produk yang disenaraikan adalah kebanyakannya hasil tulisan para sarjana silam yang diterjemah oleh penulis antarabangsa; juga terdapat dalam Bahasa Melayu. Untuk para pelajar mahupun mereka yang bertugas dalam menyebarkan ilmu, laman sesawang ini adalah pilihan yang baik untuk mereka mendapatkan sumber maklumat berkaitan disiplin, kaedah atau hukum-hukum yang ingin dipelajari.

10.  Bookjannah.com 

Bookjannah membawakan konsep hampir sama dengan Pelita Dhihin, iaitu lebih memberikan penumpuan terhadap menjual buku-buku keagamaan. Kebanyakan buku ilmu berkaitan Islam adalah hasil penulisan sama ada oleh ulama, ustaz dan para sarjana tempatan mahupun serumpun.

Selain itu, konsep kedai buku atas talian ini lebih memberi fokus terhadap mengedar bahan ilmiah, termasuklah buku ilmiah Islam serta kitab al-Quran kepada sekolah-sekolah, pejabat dan kedai buku di seluruh Malaysia. Pembelian dan penghantaran pos juga menjadi keutamaan mereka kepada pelanggan yang mencintai ilmu berkaitan keagamaan.

Sebenarnya lebih banyak kedai-kedai buku berkonsepkan penjualan di laman sesawang yang wujud di negara ini. Untuk penerbitan buku bersifat indie atau alternatif pula, kebanyakan mereka mempunyai kedai atas talian tersendiri.

Masing-masing memperjuangkan industri perbukuan dengan misi dan visi yang berbeza, namun impaknya dalam memeriahkan industri adalah sangat signifikan. Pun begitu, penjualan buku dan jumlah bacaan individu di negara ini masih lagi belum memuaskan. Jelas, perjuangan untuk merakyatkan buku supaya wujudnya setiap dari kalangan kita sangat minat membaca buku, dan membaca lebih banyak buku dalam setahun, masih lagi panjang.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.